29 April, 2012

..CINTA JARI LIMA..

Pasangan anda adalah anugerah yang tidak ternilai buat anda. Pernah dengarkah tentang falsafah lima jari? Tahukah anda mengapa cincin perkahwinan disarungkan ke jari manis, bukan di jari-jari lain?

Kini satukan kedua-dua belah tangan anda dan bengkokkan jari tengah ke dalam. Kemudian, empat jari yang lain dipertemukan di hujungnya.
1.   Ibu Jari
Cuba buka ibu jari anda. Ibu jari boleh dibuka kerana ibu jari mewakili kedua-dua orang tua anda. Kelak suatu hari nanti, pasti kedua-duanya akan pergi meninggalkan anda buat selama-lamanya. Tutup kembali ibu jari.
2.   Jari Telunjuk
Buka pula jari telunjuk anda. Jari telunjuk mewakili adik-beradik. Mereka juga bakal meninggalkan keluarga dan mengorak hala tuju masing-masing apabila tiba masanya. Tutup kembali jari telunjuk.
3.   Jari Kelingking
Cuba pula buka jari kelingking yang paling kecil, ianya mewakili anak-anak anda. Lambat-laun, apabila anak-anak mempunyai keluarga sendiri, mereka juga akan meninggalkan anda. Tutup kembali jari kelingking.
4.   Jari Manis
Dan sekarang, cuba buka jari manis, yang mana anda menyarungkan cincin perkahwinan padanya. Hairan kan mengapa anda tidak dapat membuka jari manis. Jari manis tersebut mewakili suami atau isteri anda. Tiada yang dapat memisahkan anda dan pasangan anda, kerana anda berdua telah ditakdirkan untuk bersama sehidup semati. Jadi, hargailah pasangan anda!

Thumb represents parents.
Index finger represents siblings.
Center finger represents own self.
Fourth finger represents your partner.
Last finger represents your children.
- Chinese’s philosophy



Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah

Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.
Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.
Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya. 
Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

                                                                                          Gambar Hiasan

Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengantakzir (discretionary punishment).
credit: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Umat Yang Kehilangan Jenama

Sering kali apabila bersolat di al-Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi s.a.w, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini. Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf salat yang penuh teratur. Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa rehearsal membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan practise solat berjemaah di negara masing-masing.
Namun, apabila sahaja iqamah dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latarbudaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin. Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak. Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang diharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia.

Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan keserataan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf. Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah. Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hambaNYA disebabkan kedudukan dunia mereka. Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri.

Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat muslim dapat dibina. Bab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya.
Manakah Kesannya?
Namun, malang sekali negara-negara orang muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya University al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak. Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotaran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara.
Jalanraya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau:“Orang Mesir, boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon”. Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka. Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu?! Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang dilaung-laungkan itu?!! Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka?
Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi University Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan. Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa. Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah.
Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita. Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan. Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti. Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri.
Umat Contoh
Kita membaca firman Allah: (maksudnya)
“Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu” (Surah al-Baqarah: 143).
Perkataan ‘wasata’ yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufassirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain. Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan menafsirkannya sebagai umat pilihan dan adil. Demikian juga Ibn ‘Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir memberikan tafsiran yang hampir sama. Dalam edisi English Taisirur Rahman ditafsirkan: “a nation which profoundly great and most superior”. Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini?
Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita. Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan taxpayer’s money, mereka miliki hak itu. Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu.
Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata. Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini Kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran. Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat. Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut: “I don’t think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don’t think it would be an appropriate use of public money”.

HM Queen bawa payung sendiri.

Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia. Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisyen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia muslim.
Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar. Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiyyah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak!
Sebab itu, walaupun ‘Arab Spring’ mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan regim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja. Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup!
Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I’lam al-Muwaqi’in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata:
“Hendaklah kamu dengar dan taat!”. Tiba-tiba sahabat Nabi s.a.w yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Umar pun bertanya: “Mengapa wahai Salman?”. Jawab Salman: “Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai”. Jawab Umar: “Sabar wahai Salman!. Lalu Umar berkata kepada anaknya: “Wahai Abdullah (bin ‘Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku”. Jawab Abdullah bin ‘Umar: “Ya, demi Allah”. Jawab Salman: “Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)”.
Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang branded pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini. Hanya golongan pengampu ataupun literalist sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini. Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan.
credit: prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

HIKMAH LIMA JARI

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.

Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentu buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda??
Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang??? 

sumber: komuniti iluvislam

20 April, 2012

DUA PILIHAN,KELEMAHAN ATAU KEMAKSIATAN??

DUA PILIHAN, KELEMAHAN ATAU KEMAKSIATAN

Sabda Rasulallah SAW yang bermaksud: 
"Akan datang suatu masa pada manusia,pada masa itu seorang lelaki dihadapkan dengan pilihan antara kelemahan dan kemaksiatan, maka barangsiapa yang menjumpai masa itu,hendaklah memilih kelemahan dan meninggalkan kemaksiatan."                         
                                                        (HR. Hakim dari Abu Hurairah)

Dalam isyarat Rasulallah SAW itu memberikan gambaran bahawa umat islam akan dihadapkan dengan banyaknya kemaksiatan , kejahatan,pengkhianatan,penipuan,perkosaan dan lain2 .Pada masa itu umat islam dihinggapi penyakit lemah,tiada kekuatan untuk melawan.Sebagai orang islam,adalah menjadi kewajipan kita untuk menjauhkan diri daripada perkara2 berupa kemaksiatan ataupun kemungkaran2 lain.

Di akhir zaman,kemungkaran dan kemaksiatan  berleluasa. Hendaklah kita mencegah kemungkaran sekadar kemampuan kita

sabda Rasullallah SAW:

" Sesiapa diantara kalian mengetahui kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya(kekuasaannya), apabila tiada mampu ,maka ubahlah dengan lisannya, apabila tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya(merasa benci), Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman."                                   (Riwayat Imam Ahmad)

Segala kemungkaran dan kemaksiatan adalah pujuk rayu syaitan.
maka jauhilah pujuk rayu syaitan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Hai orang2 yang beriman, janganlah kalian mengikuti tipu daya syaitan. Dan sesiapa yang mengikuti tipu daya syaitan sesungguhnya syaitan itu menyuruh berbuat keji dan mungkar, seandainya tiada kurniaan Allah dan rahmat-Nya pada kalian. tentu tidak ada seorangpun daripada kalian yang bersih selama-lamanya. Dan tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."   (An-Nur:31)
                        
                



                      
              


16 April, 2012

Hutan Tumbuh Di Bawah Tanah Arab.. Subhannallah..



Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
           

 "Kiamat tidak akan bermula sehingga tanah Arab sekali lagi akan menjadi padang rumput dan sungai'


       (Diriwayatkan oleh muslim-157)

15 April, 2012




Taj Mahal dikenali sebagai contoh karya senibina muslim India. Selain itu Taj Mahal di kenang sebagai lambang cinta abadi Kaisar Shah Jahan untuk isterinya Mumtaz Mahal. Taj Mahal merupakan simbol cinta dan hasrat. Taj Mahal dibangunkan oleh Kaisar Mogul yang kelima pada tahun 1631-1648 untuk mengenang Arjuman Bano Begun atau lebih dikenali sebagai Mumtaz Mahal.

Pada awalnya, Shah Jahan hanya menyebut masjid itu sebagai makam Mumtaz Mahal. Namun, akhirnya ia berkembang menjadi Taj Mahal. Taj Mahal jika diterjemahkan beerti "Istana Mahkota", sebuah perluasan dari nama Mumtaz Mahal yang berasal dari Persia. 

Mumtaz Mahal meninggal pada usia 39 tahun, ketika melahirkan anak ke-14 pada tahun 1631.Kematian Sang Permaisuri ini membuatkan Sang Raja begitu sedih. Sebelum meninggal, Mumtaz telah berpesan 'beta ingin membina sebuah makam yang tidak pernah disaksikan oleh dunia sebelum ini untuk dikenang'. 

Shah Jahan memerintah Ustaz Ahmad untuk melakar dan membina bangunan ini. Beliau telah mengumpulkan 20 000 orang pekerja yang terdiri daripada tukang batu, tukang emas dan pengukir yang termasyhur dari seluruh dunia. Arkitek yang paling mahir, bersungguh-sungguh, ahli kaligrafi, pemahat batu dan tukang batu yang datang dari seluruh India dan daerah yang jauh seperti Persia dan Turki. 

Bumbung, kubah dan menara telah diperbuat daripada marmar putih serta seni mozek yang indah, Taj Mahal salah satu daripada tujuh senibina yang ajaib di dunia. Sebanyak 43 jenis batu permata, termasuk berlian, jed, kristal, topaz dan nilam telah digunakan. Pembinaan Taj Mahal telah mengambil masa selama 22 tahun. Bahan bangunan didatangkan dari seluruh India dan Asia Tengah dengan menggunakan seribu gajah. Maka terdirinya kubah utama setinggi 57 meter. 

28 batu-batuan indah dari pelbagai wilayah Asia digunakan seperti batu pasir merah dari Fatehpur Sikri, Jasper dari Punjab, Jed dan kristal dari China, batu pirus dari Tibet, lapis lazuli dan safir dari Sri Lanka, batu bara dan batu kornelian dari Arab dan berlian dari Pannar. Laintainya juga dibuat daripada pualam yang bercahaya dari Makrana, Rajasthan. 

Tidak seperti makam Mughal yang lain, taman Taj Mahal berada di depan makam. Latar belakang Taj Mahal adalah langit, sehingga Taj Mahal dilihat begitu gemerlap dengan warna. Komposisi bentuk dan garisnya pun sempurna. 

Taj Mahal menggabungkan bentuk tradisi seni Persia dan seni Mughal pada awalnya. Inspirasi datang dari Dinasti Timurid dan bangunan Mughal termasuk Gur-e Amir iaitu makam timur, pengasas Dinasti Mughal di Samarkand, Makam Humayun, Makam Itmad-Ud-Daulah yang disebut sebagai bayi Taj dan Masjid Jama.










ref :

http://id.shvoong.com/humanities/history/1861471-sejarah-taj-mahal/
http://www.taj-mahal-india-travel.com/history-of-taj-mahal-agra.html

Dayusnya Seorang Lelaki




Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :

1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak d**etahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4. Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'sporting' yang memahami.


6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

8. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

9. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

10. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

11. Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Fikir-fikirkanlah...

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

***Sumber Dari : Blog Ainz Shop

Bahaya Tidur Selepas Subuh


Kita telah ketahui bersama bahawa waktu pagi adalah waktu yang penuh barakah dan di antara waktu yang kita diperintahkan untuk memanfaatkannya. Akan tetapi, pada kenyataannya kita banyak melihat orang-orang melalaikan waktu yang mulia ini. Waktu yang seharusnya dipergunakan untuk bekerja, melakukan ketaatan dan beribadah, ternyata dipergunakaan untuk tidur dan bermalas-malasan.

Saudaraku, ingatlah bahawa orang-orang soleh terdahulu sangat membenci tidur pagi. Kita dapat melihat ini dari penuturan Ibnul Qayyim ketika menjelaskan masalah banyak tidur bahawa banyak tidur dapat mematikan hati dan membuat badan merasa malas serta membuang-buang waktu. Beliau rahimahullah mengatakan,

“Banyak tidur dapat mengakibatkan lalai dan malas-malasan. Banyak tidur ada yang termasuk dilarang dan ada pula yang dapat menimbulkan bahaya bagi badan."

Waktu tidur yang paling bermanfaat yaitu :

1. Tidur ketika perlu tidur.
2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam.
3. Tidur di pertengahan siang –ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi kecuali jika memang tidak tidur semalaman.

Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerena pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah (pahala yang berlimpah). Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar, menurut orang-orang soleh. Sehingga apabila mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barokah (banyak kebaikan).” (Madarijus Salikin, 1/459, Maktabah Syamilah)

BAHAYA TIDUR PAGI


[Pertama]
Tidak sesuai dengan petunjuk Al Qur'an dan As Sunnah.

[Kedua]
Bukan termasuk akhlak dan kebiasaan para salafush soleh (generasi terbaik umat ini), bahkan merupakan perbuatan yang dibenci.

[Ketiga]
Tidak mendapatkan barokah di dalam waktu dan amalannya.

[Keempat]
Menyebabkan malas dan tidak bersemangat di sisa harinya.

Maksud dari hal ini dapat dilihat dari perkataan Ibnul Qayyim. Beliau rahimahullah berkata,
"Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya."
(Miftah Daris Sa'adah, 2/216).
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah malas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan malas-malasan pula.

[Kelima]
Menghambat datangnya rezeki.

Ibnul Qayyim berkata,
"Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah:-
[1] tidur di waktu pagi,
[2] sedikit solat,
[3] malas-malasan dan
[4] berkhianat."
(Zaadul Ma’ad, 4/378)

[Keenam]
Menyebabkan berbagai penyakit badan, di antaranya adalah melemahkan syahwat.
Zaadul Ma’ad, 4/222)


"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

***Sumber Dari : uniqueummah.blog

5 Syarat Nak Buat Maksiat ^.^

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham.

Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata,
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata,

"Syarat pertama,
jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata,
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.
"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim,
"kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya,
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.

Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'."
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,
"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak. 


"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

***Sumber Dari : FB LayarMinda

Khulafa Ar-Rasyidin

Pengenalan

Apa itu khalifah??

Khalifah membawa maksud pengganti, iaitu pengganti yang menggantikan pemerintahan islam yang dibawa oleh  Rasulallah SAW selepas kewafatan baginda.

Siapakah khalifah -khalifah tersebut? Adakah kita mengenali mereka?

1)Khalifah Abu Bakar As-Siddiq
2)Khalifah Umar Al-Khattab
3)Khalifah Usman Affan
4)Khalifah Ali Abi Tallib

Ikuti kisah perjuangan mereka...

di post yang akan datang insyaAllah.. (^_^)
harap sedikit sebanyak dapat berkongsi input dengan sahabat2 semua..
jumpa lagi..assalamualaikum wbt.





Ayuh Contohi Akhlak Saidatina Khadijah RA

Dengan ini, saya ingin mengajak kita semua, tidak kira kaum lelaki dan kaum wanita untuk sama-sama menyelusuri kisah kehidupan seorang wanita yang kehidupannya banyak dijadikan sebagai tulang belakang pendokong seorang lelaki.

Siapakah wanita itu? Semestinya dialah Saidatina Khadijah RA. Isteri tercinta seorang lelaki, Nabi Muhammad SAW.

Mengapa saya ingin bawakan kepada wanita-wanita sekalian akan kisah wanita ini?

Kerana hakikatnya juga, wanita-wanita pada hari ini lebih menjadikan artis-artis sebagai idola dan pujaan hati dalam diri mereka untuk dicontohi.

"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan darinyalah aku mendapatkan keturunan."

Begitulah Rasulullah saw berkata tentang keperibadian Khadijah, isterinya.

Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam

Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas.

Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya.

Tetapi pilihannya justeru, jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah Khuwailid RA.

Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah.

Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah.

Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam.

Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW. Adakah ramai wanita-wanita yang bergelar isteri di luar sana mencontohi sebagaimana peribadi Ummul Mukminin ini?

Sanggup bersusah-payah bersama suami meskipun seorang yang kaya-raya... Dan adakah wanita-wanita di luar sana, yang bakal bergelar isteri, sudah bersedia mencontohi peribadi Ummul Mukminin ini?

Apabila ditanya tentang Siti Khadijah RA akan perpisahan Rasulullah SAW atas pemergiannya, Rasulullah SAW menjawab, "Ya! Sesungguhnya Khadijah adalah pentadbir dan suri rumah yang terbaik."

Buat wanita-wanita yang membaca dan berkongsi pandangan bersama, Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya?

Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh.

Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya.

Persoalannya, dapatkah kita jika sebagai suami dan isteri berlaku demikian untuk diri dan tugas masing-masing?

Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, " Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab.

Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah."

Sememangnya, wanita-wanita yang begitu tinggi darjatnya dalam Islam dalam lipatan sejarah suatu masa dahulu semakin dilupakan.

Kesetiaan yang mendorong kegigihan

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka.

Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang.

Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan.

Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama.

Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT.

Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT.

Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya.

Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." - An-Nahl: 97

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua.

Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang soleh.

Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT.

Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.

Wahai lelaki, wanita bagaimanakah yang kamu hajatkan sebagai pasangan hidup, tulang belakang (pendokong) hidupmu dan pembimbing anak-anakmu?

Wahai wanita, suami yang bagaimanakah peribadinya yang kamu inginkan sebagai ketua,pembimbing dirimu dan keluargamu?

Wahai ummah, wanita yang bagaimanakah kita lihat pada hari ini, yang bagaimana kita cari, dan yang bagaimanakah kita puja dan puji?

Moga-moga renungan ini sedikit sebanyak membuka mata buat kaum Hawa dan kaum Adam yang membacanya.

Agar sebagai persediaan buat hari-hari seterusnya.



asas-asas islam

assalamualaikum sahabat-sahabat yang dirahmati Allah...
disini kami memaparkan asas-asas islam yang sepatutnya diketahui oleh seorang yang bergelar muslim.Bagi sesiapa yang dah tahu alhamdulillah,tetapi bagi yang belum tahu sama-sama kita belajar asas-asas aqidah islam ye sahabat-sahabat.Semoga kita dibawah lingkungan rahmat Allah SWT InsyaAllah (^_^)




                       



sumber utama aqidah islam:
(1)al-Quran
(2)al-hadis
(3)ijmak ulama'
(4)qias
(5)ijtihad

Rukun Islam ada lima (5) perkara :
(1) Mengucap dua kalimah syahadat
(2) Sembahyang lima waktu
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan
(4) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)
(5) Menunaikan zakat



Rukun Iman ada enam (6) perkara :
(1) Beriman kepada ALLAH SWT
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar